KEPERLUAN PENILAIAN RISIKO POKOK BERSAIZ BESAR

 

KENYATAAN AKHBAR

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

KEPERLUAN PENILAIAN RISIKO POKOK BERSAIZ BESAR

 

Pokok Tumbang KNerus

 

Pihak Persatuan Arborist Malaysia (PArM) menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi dahan sekah yang terjadi baru-baru ini di Kuala Nerus, Terengganu.

Kemalangan pokok tumbang dan dahan sekah ini bukanlah pertama kali di Malaysia dan yang terbaru mangsa telah ditimpa oleh dahan sekah dari pokok Khaya (Khaya senegalensis) semasa berada di dalam kenderaan yang sedang bergerak. Kejadian berlaku ketika cuaca tenang tanpa angin atau hujan.

Perkara ini membuatkan orang ramai bimbang terhadap pokok besar yang terdapat di bahu jalan dan di kawasan perbandaran di seluruh negara. PArM sebagai agensi bebas berpendapat bahawa kebimbangan tersebut berpunca dari ketidak fahaman tentang pokok dan telah membawa kepada tanggapan bahawa semua pokok besar atau tua adalah merbahaya.

Turutan daripada situasi ini, pihak PArM ingin memberikan penjelasan tentang beberapa perkara asas berkaitan pokok besar dan tua.

Pokok adalah organisma hidup yang mempunyai jangka hayat tertentu. Terdapat  pokok-pokok yang boleh mencapai jangka hayat sehingga ratusan malah ribuan tahun. Justeru pokok dalam jangka hayatnya akan melalui beberapa fasa seperti fasa muda, matang, tua dan mati. Apabila pokok mencapai fasa matang dan tua serta bersaiz besar, ia memerlukan penyelenggaraan yang baik, teliti dan berkala untuk terus hidup dengan risiko yang boleh diterima sehingga akhir jangka hayatnya.

Dalam tempoh fasa tersebut, pokok mengalami pelbagai keadaan seperti dahan reput, batang dijangkiti kulat, reput pada pangkal batang pokok, akar rosak dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebabkan risiko dahan patah atau pokok tumbang dan mengakibatkan kecederaan kepada orang awam dan kemusnahan harta benda.

Untuk mengelakkan kejadian ini berlaku, pihak pemilik pokok perlu mengambil tanggungjawab untuk melakukan pemeriksaan risiko pokok secara berkala. Seterusnya, tindakan seperti cantasan membuang bahagian reput, cantasan mengurangkan beban atau penebangan pokok boleh dilaksanakan sekiranya perlu, untuk keselamatan orang awam.

Pokok yang bersaiz besar seharusnya memberi lebih banyak manfaat berbanding risiko yang ada pada pokok tersebut. Pokok yang telah diselengara dengan baik, dapat mengurangkan risiko dan sekaligus mengelakkan kebimbangan yang tidak berasas dari orang awam.

Dengan pengetahuan dan kepakaran Arborist Bertauliah yang dimiliki oleh pihak PArM, kami bersedia untuk  membantu pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian risiko pokok dengan kaedah yang sistematik. Seterusnya tindakan pengurusan akan dicadangkan untuk dilakukan bagi mengurangkan risiko kegagalan sebahagian atau keseluruhan pokok. PArM juga sedia memberi khidmat nasihat dan pendidikan berkaitan pengurusan dan penjagaan pokok kepada mana-mana pihak kerajaan mahu pun pihak swasta. 

Untuk makluman, Arborist Bertauliah merupakan individu yang mempunyai pengetahuan dalam bidang arborikultur, menjalani program pensijilan arborist dan telah lulus peperiksaan yang dijalankan oleh Persatuan Arborikultur Antarabangsa (International Society of Arboriculture) yang beribu pejabat di Champaign, Illinois, Amerika Syarikat.

Kepada  yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang PArM, sila layari laman web PArM di www.parm.com.my

 

Professor Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin

Presiden Persatuan Arborist Malaysia

(PArM)