2024 ASIA PACIFIC TREE CLIMBING CHAMPIONSHIP

2024 ASIA PACIFIC TREE CLIMBING CHAMPIONSHIP

Kenyataan Media : Kejohanan Asia-Pacific Tree Climbing Championship 2024 (APTCC) akan berlangsung di Kuantan, Pahang

Persatuan Arborist Malaysia (PArM) bersama International Society of Arboriculture (ISA) dengan bangganya mengumumkan bahawa Kejohanan Asia-Pacific Tree Climbing Championship 2024 (APTCC) akan diadakan dari 25 hingga 28 April 2024 di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan, Pahang. Acara ini dianjurkan oleh ISA dan tuan rumah kepada acara ini ialah PArM dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Acara yang julung-julung kali di adakan di Malaysia ini merupakan satu sukan yang unik dan menarik. Ia percuma dan terbuka kepada orang ramai. Acara ini memberikan peluang kepada penonton untuk menyaksikan kemahiran memanjat pokok dengan teknik terkini oleh para pemanjat profesional dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Seramai 51 peserta akan berentap di kejohanan bertaraf antarabangsa ini. Para peserta adalah dari negara Australia, Hong Kong, Japan, New Zealand, Korea, Singapura, Taiwan dan Thailand. Malaysia sendiri akan menghantar 7 wakil (5 lelaki dan 2 perempuan) iaitu pemenang pada Malaysia Tree Climbing Championship 2023 yang telah diadakan di Putrajaya pada bulan September tahun lepas.

Turut bertanding adalah juara dunia International Tree Climbing Championship (ITCC) 2023 dan 2022 iaitu Barton Allen-Hall dari Australia dan naib juara ITCC 2023 Jack Lewis juga dari Australia.

Bagi kategori wanita, turut bertanding adalah pemenang tempat ketiga ITCC 2023 iaitu Jess Hamer dari Australia. Beliau ialah wanita pertama yang mencipta rekod dunia dalam Acara Head to Head Ascent 15 meter, dengan masa yang dicatat adalah 13.63 yang dicipta pada ITCC 2022 di Copenhagen, Denmark.

Sorotan Acara:

Tarikh Pertandingan: 25-28 April 2024
Lokasi: Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan, Pahang (Royal Pahang Golf Club)

Semua peserta akan bersaing dalam lima acara awalan (Masters’ Qualifying Events) yang mempamerkan kecekapan, teknik, dan kepantasan sambil menekankan kepentingan keselamatan dan penjagaan pokok yang betul. Acara-acara ini termasuklah:

  • Aerial Rescue
  • Work Climb
  • Ascent
  • Belayed Speed Climb
  • Throwline

Jumlah markah dari semua lima acara akan digabungkan untuk menentukan peserta lelaki dan wanita yang akan mara ke Cabaran Master (Masters’ Challenge). Cabaran Master adalah satu acara di mana peserta akan dinilai berdasarkan teknik dan kecekapan mereka. Juara lelaki dan wanita APTCC akan ditentukan berdasarkan markah tertinggi dalam pusingan ini.

Selain itu, akan ada juga Pesta Arbor yang menampilkan pelbagai gerai vendor dan aktiviti pendidikan yang berfokus pada isu-isu alam sekitar dan pemeliharaan pokok. Acara ini memberi peluang kepada hadirin untuk berinteraksi dengan vendor lokal, mendapatkan maklumat tentang peralatan terkini dan banyak lagi. Jangan lepaskan peluang untuk mengalami keseronokan dan pembelajaran di APTCC 2024!

Untuk maklumat lanjut berkenaan kejohanan APTCC ini, sila layari https://www.itcc- isa.com/events/regional/aptcc.

Berkenaan PArM : https://www.parm.com.my/
Berkenaan ISA : https://www.isa-arbor.com/

ASIA PACIFIC TREE CLIMBING CHAMPIONSHIP (APTCC) 2024
25-28 April 2024 | Royal Pahang Golf Club, Kuantan Pahang MY

Organised by
International Society of Arboriculture (ISA) & APTCC Committee

Co-Organiser:
Persatuan Arborist Malaysia (PArM) & Perbadanan Taman Negeri Pahang

Global Partner:
Husqvarna

Supported by:
Ministry of Youth & Sport

Video credit:
RTM and Planet Sukan Production team